PM BERI JAMINAN PERTAHAN AGAMA ISLAM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan mengabaikan agama Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan dalam masa sama memelihara kebebasan beragama bagi penganut agama lain.

Dr Mahathir memberitahu, tuduhan sesetengah pihak bahawa pentadbiran HARAPAN tidak membela dan mempertahankan agama Islam adalah tidak tepat.

“Kita akan dirikan kerajaan yang berpegang kepada undang-undang dan tidak akan berbuat sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam.

“Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan negara kita ditadbir mengikut landasan undang-undang dan prihatin serta peduli kepada rakyat” kata beliau di Majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini.

HARAPAN sebelum ini berdepan pelbagai tuduhan seperti bersikap anti-Islam termasuk kontroversi terbaru membabitkan pelantikan peguam negara dari kalangan bukan Islam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Islam menuntut penganutnya tidak mendiskriminasikan agama lain, sebaliknya menyuruh berlaku adil dalam semua perkara.

“Kita tidak akan diskriminasikan agama lain, kerana Islam menyuruh kita mentadbir dengan keadilan dan ini disebut berkali-kali dalam al-Quran.

“Al-Quran menyatakan apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil bukan semata-mata orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam” tambah beliau.

Dr Mahathir juga mendakwa sejak mengambil alih kerajaan, beliau melihat ramai anggota kakitangan awam ‘terpedaya dengan dakyah jahat’ sehingga gagal memberikan khidmat kepada negara, sebaliknya berkhidmat untuk parti tertentu.

“Kita tidak suka ambil tindakan, tetapi tidak dapat tidak, kita tidak boleh benarkan mereka (yang enggan bekerjasama) menjalankan tugas.

“Kita perlu cari pengganti kepada mereka. Mungkin pada mereka, mereka dianiaya tetapi ini dilaksanakan dengan dasar dan undang-undang dalam negara” katanya.

Katanya, terdapat penjawat awam kerajaan yang enggan bekerjasama sehingga sanggup melakukan sesuatu perkara walaupun bertentangan dengan undang-undang.

“Kita tidak boleh beri harapan sepenuhnya kepada orang yang menyeleweng, iaitu anggota pentadbir awam perlulah patuh kepada kerajaan yang mendapat pilihan rakyat” katanya.

-malaysiakini

Agong Dukacita Dengan Banyaknya Berita Palsu Dan Akhirnya Agong Telah Buat Keputusan
Posted on June 4, 2018 0

Agong perkenan pelantikan Tommy Thomas
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara kepada Bernama awal pagi ini, Wan Ahmad Dahlan berkata Agong bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Yang Di-Pertuan Agong Luah Rasa Dukacita

Wan Ahmad Dahlan berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

“Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.

SUMBER : MALAYSIA KINI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *